Monday, August 27, 2012

JANGAN MENGUMPAT




“Tahukah kalian apa ertinya mengumpat?”

Sahabat menjawab: “Allah dan RasulNya yang lebih tahu.”

Ujar Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam lagi: Mengumpat ialah: “Engkau mengatakan tentang saudaramu sesuatu yang tidak disukainya.”

Lalu ditanyakan:
“Bagaimana kalau ada sesuatu yang patut saya kata tentang saudara saya itu?”

Jawab Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam: “Sekiranya apa yang engkau sebutkan tentang saudaramu itu betul-betul ada padanya, maka itu bermakna engkau telah mengumpatnya tetapi jika tidak betul maka itu bererti engkau telah mengada-adakan kebohongan terhadapnya.”

Mengumpat merupakan perkara yang tidak mendatangkan kerugian sedikit pun pada orang yang diumpat, malah dosa yang diterima oleh pengumpat. Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya.

Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ianya disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.







Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat.

Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya diakhirat.

Mengumpat itu lebih buruk daripada zina. Sahabat bertanya bagaimana? Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam menjawab: seorang yang berzina itu kalau bertaubat mungkin taubatnya itu diterima oleh Allah. Akan tetapi orang yang mengumpat tidak akan Allah ampunkan dosanya sehinggalah orang yang diumpatinya itu memaafkannya.”
(Hadith riwayat Tabrani dan Baihaqi)

Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua

Sedar atau tidak,mengumpat menunjukkan seseorang itu mempunyai penyakit hati,penyakit yang jika dibiarkan menyebabkan hati makin kelam dan gelap,dan makin susah untuk dibersihkan melainkan bertaubat dan memohon maaf dari orang yang diumpat.

Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya. Sabda Rasulullah S.A.W. "Wahai orang yang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis riwayat Abu Daud)



Apakah punca utama seseorang itu mengumpat?

Antara sebabnya ialah wujudnya hasad dengki,benci-membenci yang menghasilkan umpatan.
Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya Ulumuddin ada menerangkan antara faktor yang menyebabkan timbulnya perasaan hasad ini.Secara ringkasnya antara faktor wujudnya persaaan hasad itu adalah seperti :

i)            Perasaan Permusuhan dan Kebencian
ii)      Merasa Diri Mulia
iii)     Takabbur
iv)      Ujub
v)       Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan
vi)      Ghairah Menjadi Ketua dan Mencari Populariti
vii)     Busuk Hati

Menghadapi golongan pendengki dan pengumpat menyebabkan timbul rasa marah dan sakit hati.Tapi kalau seseorang yang diumpat itu marah balik dan membalas perbuatan pendengki dan pengumpat itu,apa bezanya mereka dengan golongan yang tersebut?

Ingatlah sabda Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam yang bermaksud:
“Tidak ada satu penanggungan yang lebih dikasihi Allah daripada seteguk kemarahan yang ditelan oleh seseorang. Mana-mana perasaan marah yang dikawal oleh seseorang semata-mata kerana Allah nescaya Allah akan penuhkan batinnya dengan keimanan."

Selalulah bersabar dalam solat supaya tidak membawa perkara tersebut di dalam solat yang boleh mengganggu kekusyukan solat,berdoa memohon dari Allah daripada kejahatan orang lain.

Langit Pertama Dosa Mengumpat


Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud : "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering". Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat cacatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya". Maka Allah menjawab : "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".

Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis diakhirat nanti.

Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu perbanyakkanlah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat. 

Sumber :



Bacaan lanjut:
Bahtera Penyelamat karangan ustaz Fathi Yakan
Kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali



No comments:

Post a Comment