![]() |
Bakteria Salmonela |
2 Oktober 2013- Bakteria salmonela dikenal pasti terkandung
dalam hidangan ayam goreng masak merah yang disediakan secara gotong-royong
sehingga menyebabkan kematian, BERNAMA dipetik.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Ismail Abu Taat berkata,
sebahagian daripada 130 bekalan ayam yang dihantar untuk majlis perkahwinan di
Kampung Huma, Tanjung Dawai Sabtu lalu juga didapati sudah busuk.
Menurutnya, hasil laporan siasatan terperinci yang dilakukan
mendapati ayam yang busuk diasingkan manakala sebahagian yang masih elok
digunakan untuk memasak.
Katanya berdasarkan keterangan tuan rumah, kira-kira 130
ekor ayam dibeli pada Jumaat dan digoreng sebelum disimpan di dalam sebuah
bilik pada suhu biasa.
"Ini menyebabkan ayam tersebut dicemari dan dijangkiti
bakteria Salmonella.Ayam itu berbau bila hendak dimasak keesokan harinya,
tetapi tuan rumah mahu memasak kerana bimbang makanan untuk tetamu tidak
mencukupi," katanya.
Beliau berkata mangsa yang makan makanan tercemar itu tidak
mengalami simptom keracunan pada kadar segera sebaliknya bakteria Salmonella
hanya meragam selepas lebih 12 jam sebelum menjadi keracunan, menyebabkan
mangsa mengalami cirit-birit, loya, muntah, perut memulas dan kehilangan air
dalam badan secara teruk.
“Keadaan ini boleh menyebabkan mangsa kehilangan banyak air
dalam badan dan lebih serius boleh menyebabkan kematian sekiranya lambat
menerima rawatan,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini lebih kurang 270 mangsa menerima
rawatan di beberapa hospital di negeri ini dan dua daripadanya masih dirawat di
unit rawatan rapi (ICU).
Pada Isnin, tiga mangsa keracunan makanan meninggal dunia
selepas menghadiri satu majlis kenduri kahwin itu manakala semalam (Selasa)
seorang lagi meninggal dunia.Mereka ialah pelajar Universiti Islam Antarabangsa
(UIA) Gombak, Nurshazana Mohd Rashid, 24, dari Kampung Tempoyak, Bedong, yang
meninggal dunia kira-kira pukul 12.45 tengah hari semalam dan Mohammad Nor
Rahmad Yusof, 11, dari Kampung Singkir Laut, Yan meninggal dunia kira-kira 1
petang.
Seorang lagi mangsa Ibrahim Mohamad, 62, berasal dari Alor
Jejawi, Kuala Besut, Terengganu, meninggal dunia di HSAH kira-kira pukul 6.30
petang kelmarin.
Semalam, Wan Razali Yaakob, 56, dari Kampung Banggol Belau,
Merbokdisahkan meninggal dunia pukul 7.15 malam selepas dimasukkan ke ICU HSAH
pagi kelmarin.
Menurutnya, di HSAH, seramai 127 pesakit mendapatkan rawatan
di mana 38 dimasukkan ke wad manakala 89 sudah dibenarkan pulang.
Sementara itu, katanya, di Hospital Daerah Yan, seramai 138
kes dirawat di mana 62 ditahan wad manakala 68 sudah dibenarkan pulang.
Katanya, seramai 18 kes dirujuk di lain-lain hospital.
No comments:
Post a Comment