Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali
Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai
Parameter Pelaburan Emas. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
Setelah mendengar
taklimat dan penjelasan daripada Y. Bhg. Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim dan Y.
Bhg. Ustaz Lokmanulhakim bin Hussain daripada Akademi Penyelidikan Syariah
Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA), Muzakarah bersetuju menerima dan
memperakukan Parameter Pelaburan Emas seperti berikut:
Syarat Umum
Jual Beli
1. Transaksi jual beli emas mestilah memenuhi semua rukun jual beli yang
digariskan oleh Syarak, iaitu pihak yang berakad, item pertukaran, dan sighah
menurut ’uruf yang diamalkan. Jika sekiranya suatu transaksi tidak memenuhi
salah satu rukun jual beli, transaksi tersebut dikira tidak sah.
Pihak Yang
Berakad
2. Pihak yang berakad mestilah orang yang mempunyai kelayakan melakukan kontrak
(Ahliyyah al-Ta’aqud) iaitu dengan memenuhi kriteria berikut:
i. Baligh, berakal dan rasyid
Jika sekiranya pihak yang berakad seorang yang gila atau kanak-kanak samada
mumayyiz atau tidak mumayyiz, maka jual belinya adalah tidak sah. Akad oleh
kanak-kanak yang mumayyiz adalah tidak sah kerana jual beli ini melibatkan
barang yang tinggi nilainya.
ii. Keredhaan
Akad jual beli mestilah dimeterai oleh dua pihak yang saling reda-meredhai,
tanpa ada unsur paksaan, tekanan dan eksploitasi.
Harga Belian (al-Thaman)
3. Harga belian (al-Thaman) hendaklah diketahui dengan jelas oleh
kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi jual beli.
Barang Belian
(al-Muthman)
4. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang wujud, dan dimiliki
sepenuhnya oleh pihak yang menjual ketika berlangsungnya kontrak jual beli.
Oleh itu, jual beli suatu yang tidak wujud secara fizikalnya dan juga jual beli
suatu yang tidak dimiliki oleh pihak yang menjualnya adalah tidak sah.
5. Barang belian
(al-Muthman) hendaklah suatu yang boleh diserahkan kepada pembeli atau
wakilnya. Jika barang belian tidak dapat diserahkan kepada pembeli, ataupun
penjual mensyaratkan tidak menyerahnya kepada pembeli, maka akad tersebut tidak
sah.
6. Barang belian
(al-Muthman) hendaklah suatu yang diketahui oleh kedua-dua pihak yang
berakad ketika sesi jual beli. Ia boleh terlaksana melalui kaedah-kaedah di
bawah:
i. Melihat sendiri barangan yang hendak dibeli ketika akad jual beli, atau
sebelum akad jual beli dalam tempoh yang tidak menjejaskan sifat-sifatnya.
ii. Melihat sampel barangan yang hendak dijual beli. Ini biasanya berlaku
semasa proses pemesanan sebelum akad dilaksanakan.
iii. Menentukan sifat-sifat dan kadar barang belian secara terperinci yang
secara urufnya tidak menimbulkan pertikaian. Dalam konteks emas, penentuannya
adalah dengan mengenalpasti tahap ketulenan emas samada mengikut standard lama
berasaskan karat (seperti emas 24 karat), atau standard baru berasaskan peratusan
(seperti emas 999). Penentuan sifat juga mestilah mencakupi bentuk emas, samada
dalam bentuk syiling, wafer, jongkong dan sebagainya. Timbangan emas secara
tepat juga adalah suatu yang disyaratkan dalam penentuan sifat emas.
Sighah
7. Sighah dalam jual beli adalah suatu yang menunjukkan kepada keredhaan
kedua-dua pihak untuk memetrai kontrak jual beli. Ia boleh berlaku samada
melalui pertuturan, atau suatu yang boleh mengambil hukum pertuturan seperti
tulisan dan seumpamanya. Manakala jual beli secara Mu’ataah
(serah-hulur) juga adalah dikira sebagai sighah yang muktabar oleh sebahagian
fuqaha’.
8. Di dalam
sighah jual beli tidak boleh dimasukkan unsur penempohan. Contohnya, seseorang
mengatakan, ” Saya menjual barangan ini kepada kamu dengan harga RM100 untuk
selama tempoh setahun”.
9. Ijab dan qabul
mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri
dan kadarnya.
Syarat Khusus Jual Beli Emas Yang Bercirikan Item Ribawi
10. Oleh kerana emas dan wang adalah dua item ribawi yang mempunyai
illah yang sama, maka syarat tambahan bagi transaksi pembelian atau penjualan
emas mestilah memenuhi syarat berikut:
i. Berlaku taqabudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat
dalam transaksi sebelum kedua-dua pihak bertransaksi berpisah daripada majlis
akad.
ii. Jual beli emas hendaklah dijalankan secara lani, dan tidak boleh berlaku
sebarang penangguhan.
Syarat-syarat
tersebut adalah khas bagi emas yang bercirikan item ribawi, seperti emas
jongkong dan syiling emas. Syarat ini tidak termasuk barang perhiasan emas
kerana ia telah terkeluar daripada illah ribawi.
Perincian taqabudh
dan urusniaga lani adalah seperti berikut:
Syarat
Pertama: Taqabudh
11. Taqabudh (penyerahan) hendaklah berlaku terhadap kedua-dua item jual
beli iaitu harga dan juga barang belian (emas), dan ia hendaklah terlaksana
sebelum kedua-dua pihak berpisah daripada majlis akad.
12. Penyerahan
harga boleh dilakukan melalui kaedah-kaedah berikut:
a. Pembayaran secara tunai
b. Pembayaran secara cek yang diperakui (seperti banker’s cheque)
c. Pembayaran secara cek peribadi
d. Pembayaran secara kad debit
e. Pembayaran secara kad kredit
f. Pemindahan wang daripada akaun simpanan atau semasa.
Secara urufnya,
kesemua bentuk bayaran di atas kecuali (c) adalah dianggap sebagai pembayaran
tunai oleh penjual. Pembayaran melalui kad kredit masih lagi dianggap tunai
kerana pihak penjual akan mendapatkan harga jualan secara penuh dari pihak yang
mengeluarkan kad kredit tersebut. Hutang yang berlaku, jika ada, adalah di
antara pemegang kad dengan pengeluar kad dan bukannya dengan penjual barangan.
Status tunai ini
masih lagi diterima secara urufnya oleh penjual walaupun pada hakikatnya
pihak penjual akan menerima secara fizikal atau dimasukkan ke dalam akaunnya
beberapa hari selepas transaksi berlaku.
13. Penyerahan
barang belian (emas) hendaklah berlaku secara penyerahan hakiki ataupun kaedah
muktabar yang boleh menggantikan penyerahan hakiki. Penyerahan barang belian
yang muktabar akan membawa kesan sama seperti penyerahan hakiki, iaitu:
a. Berpindah dhaman (tanggungjawab jaminan) daripada penjual kepada
pembeli.
b. Kemampuan pembeli untuk mendapatkan barang beliannya pada bila-bila masa
tanpa ada halangan.
14. Majlis akad
di dalam transaksi jual beli boleh berlaku dengan pertemuan secara fizikal,
ataupun secara maknawi. Contoh majlis akad secara maknawi ialah ijab dan qabul
melalui telefon, sistem pesanan ringkas (sms), emel, faksimili dan lain-lain.
Tetapi disyaratkan dalam semua bentuk majlis akad tersebut, hendaklah berlaku taqabudh
ketika majlis akad, contohnya melalui penyerahan secara wakalah.
Perlu diberi
perhatian bahawa majlis akad secara bertulis akan hanya bermula apabila ianya
diterima oleh pihak yang berkontrak. Contohnya, pembeli menandatangani akad
jual beli dan kemudian menghantarnya melalui pos kepada penjual. Selepas tiga
hari, akad tersebut sampai ke tangan penjual. Maka majlis akad bermula pada
waktu tersebut, jika pihak penjual bersetuju, maka akad tersebut perlu
disempurnakan oleh penjual dengan menandatanganinya, dan barang belian
hendaklah diserahkan kepada pembeli secara hakiki atau hukmi.
Syarat
Kedua: Secara Lani
15. Transaksi jual beli emas hendaklah berlaku secara lani dan tidak
boleh dimasuki sebarang unsur penangguhan, samada dalam penyerahan harga atau
dalam penyerahan emas.
16. Penangguhan
penyerahan harga yang tidak dibenarkan adalah meliputi pembelian secara hutang
secara keseluruhannya atau pembelian secara bayaran ansuran.
17. Kelewatan
penyerahan emas yang melebihi tempoh tiga hari selepas akad jual beli dimeterai
adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Manakala bagi
kelewatan penyerahan emas dalam tempoh kurang daripada tiga hari, Muzakarah
mengambil maklum bahawa terdapat perbezaan pandangan ulama di dalam hal ini.
Namun Muzakarah lebih cenderung untuk mengambil pakai pendapat yang tidak
membenarkan berlakunya kelewatan walaupun tempohnya kurang daripada tiga hari.
Dengan kata lain, penyerahan emas mestilah di lakukan di dalam majlis akad
tanpa ada penangguhan. Ini adalah kerana di dalam urusniaga emas, kelewatan
tiga hari bukanlah suatu uruf, berbeza dengan isu tukaran matawang asing.
Di dalam
pertukaran mata wang asing, tempoh T+2 diperlukan kerana ianya melalui proses
tertentu yang melibatkan tempoh masa bekerja yang berbeza antara negara,
perpindahan wang elektronik, clearing house dan lain-lain lagi.
Proses-proses yang disebutkan ini tidak terdapat di dalam perniagaan jual beli
emas fizikal. Maka adalah tidak tepat untuk membuat qiyas ke atas proses
pertukaran matawang asing.
Namun secara
praktikal, pihak penjual akan menyerahkan emas selepas amaun bayaran yang
dibuat melalui cek dan sebagainya dikreditkan ke dalam akaunnya. Proses ini
biasanya akan mengambil masa tiga hari bekerja. Di dalam menangani tempoh
antara penyerahan cek dan penerimaan emas, maka pihak penjual dan pembeli
bolehlah mengambil pakai aturan berikut:
Pihak pembeli
akan hanya membuat pesanan (order) kepada penjual dengan dinyatakan jenis dan
berat emas yang ingin dibelinya. Pesanan ini akan disertai dengan pengiriman
wang ke akaun penjual. Pada tahap ini, perkara berikut perlu diberi perhatian:
i. Pada peringkat
ini, akad jual beli emas masih belum berlaku.
ii. Wang yang berada di dalam akaun penjual masih lagi bukan milik penjual
tersebut. Ianya masih milik pembeli dan disimpan sebagai amanah oleh penjual.
Di dalam hal ini, adalah lebih baik jika satu akaun khas yang bersifat amanah (trust
account) dibuka oleh penjual.
iii. Emas masih lagi kekal menjadi milik penjual dan ia bertanggungjawab penuh
ke atas emas milikannya itu.
iv. Di dalam peringkat ini, pembeli masih boleh membatalkan pesanan yang dibuat
dan penjual hendaklah memulangkan wang kepada pembeli. Namun, jika berlaku
kerugian sebenar disebabkan pembatalan tersebut, bolehlah dibuat syarat bahawa
ia perlu ditanggung oleh pembeli. Contohnya, pembeli membuat pesanan 100gm emas
999 dengan harga RM20,000. Ketika ini, pihak penjual telah menyimpan emas
tersebut dan tidak menjualkannya kepada pihak lain yang telah bersedia untuk
membelinya. Selepas tiga hari, apabila penjual bersedia untuk membuat akad jual
beli dan seterusnya menyerahkan emas tersebut kepada pembeli, pembeli
membatalkan pesanannya. Pada hari tersebut harga emas telah jatuh kepada
RM19,000. Dengan kata lain, penjual akan kerugian RM1,000 jika menjualnya
kepada pihak lain. Di dalam hal ini, kerugian sebenar adalah sebanyak RM1000.
Apabila wang
pesanan sudah diberi clearance oleh bank, maka akad jual beli perlu dilakukan.
Wang di dalam trust account (jika ada) bolehlah dipindahkan ke akaun penjual
dan emas hendaklah diserahkan kepada pembeli.
Akad Dan Unsur
Sampingan
18. Penglibatan hibah
dalam transaksi jual beli samada hibah dalam bentuk barangan ataupun wang tunai
adalah dibenarkan jika mencukupi syarat-syarat hibah, dan tidak
melibatkan unsur-unsur yang bercanggah dengan syarak. Perlu diberi perhatian
bahawa hibah secara hakikatnya adalah akad sukarela dan ia bukanlah di
dalam bentuk lazim. Dengan kata lain, jika janji hibah ini tidak ditunaikan
oleh penjual, maka pembeli tidak boleh memaksanya memberi hibah
tersebut.
19. Penglibatan wadiah
dalam pelan pelaburan emas hendaklah menepati hukum hakam wadiah, yang
antara lain ialah pegangan wadiah adalah berasaskan kepada Yad
Amanah.
20. Seseorang
yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya, termasuklah
memberi pinjaman (qardh) kepada orang lain. Tetapi hendaklah memenuhi
kriteria qardh yang dibenarkan syarak, yang antara lain tidak boleh
membawa unsur faedah, tidak wujud unsur ”salaf wa bay” iaitu hutang yang
diikat bersama dengan jual beli.
21. Seseorang
yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya termasuk
menjadikannya sebagai pajakan untuk wang secara hutang, selagi konsep al-Rahn
yang digunakan adalah bertepatan dengan hukum syarak. Namun secara teorinya,
perkara ini seharusnya tidak digalakkan kerana secara tidak langsung ia
menggalakkan aktiviti berhutang di dalam keadaan yang tidak perlu.
22. Wa’d
boleh dimasukkan dalam pelaburan emas, selagi mana ia adalah wa’d dari
sebelah pihak dan bukannya muwa’adah dari kedua-dua belah pihak. Contoh
aplikasi wa’d dalam konteks ini ialah membuat purchase order, iaitu pelanggan
membuat perjanjian untuk membeli emas dengan harga tertentu. Perjanjian
pembelian ini dinamakan ’kunci harga’. Sekiranya proses kunci harga adalah
menyamai proses akad jual beli, ia tidak dibenarkan kerana akan berlaku
penangguhan.
23. Transaksi
jual beli hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba, perjudian, gharar yang
berlebihan, dan kezaliman. Jika sekiranya terdapat unsur-unsur tersebut,
transaksi jual beli adalah dikira tidak memenuhi kriteria syarak.