Mohd Ali Atan : mohdaliatan7@gmail.com
MASTIKA Januari 2014
TANGGAL 15 September 2013 pukul 3.30 petang di Rumah Sakit
Cipto Mangunkusumo, Jakarta Indonesia, pulanglah Habib Munzir Fuad Al-Musawa ke
hadrat Ilahi pada usia 40 tahun.
Pemergiannya dalam usia yang begitu muda ditangisi umat
Islam di seluruh dunia. Kehadirannya telah memberikan inspirasi kepada jutaan
orang di muka bumi ini. Menatap wajahnya sahaja memberikan ketenangan apatah
lagi menghadiri majlis zikir dan
nasihatnya.
Sifat rendah diri, pemalu dan lemah lembut, itulah antara
akhlak mulia Habib Munzir al-Musawwa. Tetapi karamahnya banyak membantu
masyarakat. Misalnya tujuh tahun lalu ketika Gunung Papandayan hampir meletus
Habib Munzir pergi ke gunung berapi itu lalu berdoa.
Kemudian Habib Munzir melemparkan jubahnya ke kawah yang
sedang bergelojak dengan lahar panas. Subhanallahl Gunung berapi itu tidak
meletus hingga sekarang!
Pernah Habib Munzir ziarah ke Wilayah Beji Depok yang
terkenal dengan sihir dan dukun santet untuk mengadakan majlis zikir dan
selawat. Keesokan harinya seorang dukun hitam yang terkenal jahat datang
menemui panitia majlis.
“Aku mahu jumpa tuan guru yang buat maulud nabi di sini! Aku
mempunyai empat jin khadam. Semalam mereka lenyap. Lalu subuh tadi aku lihat
jin khadamku sudah pakai baju putih dan serban masuk Islam.”
Dukun hitam itu bertanya kepada jin khadamnya kenapa masuk
Islam.
Jawab mereka, “Apakah juragan tidak tahu? Semalam ada
Rasulullah s.a.w hadir di majlis zikir
Habib Munzir!”
Pernah juga seorang dukun yang tercari-cari ke mana perginya
dua ekor harimau jadi-jadian yang menjaga rumahnya. Akhirnya dukun hitam itu
menemui jin khadamnya sedang duduk bersimpuh di depan pintu masjid mendengarkan
ceramah Habib Munzir.
Demikian pula berlaku pada murid Habib Munzir hendak
berangkat ke Cirebon yang terkenal dengan ahli santet. Murid Habib Munzir
bimbang untuk keluar berdakwah di daerah tersebut.
Habib Munzir menepuk bahu muridnya dan berkata, “Ma’aan
nabiyy! Berangkatlah, Rasulullah s.a.w. bersama kalian!”
Lalu berangkatlah mereka sambil mengalunkan selawat dan maulud
nabi. Tiba-tiba terjadi ribut hingga menggoncang rumah yang mereka duduki
dengan dahsyat. Lantas mereka berdoa mohon perlindungan daripada Allah.
Ajaibnya apabila ribut mereda terdengarlah bunyi ledakan bola api di luar rumah
menandakan santet yang mahu dikirim kepada mereka telah musnah.
Habib Munzir juga pernah berkunjung ke Bali dan ditempatkan
di rumah bersebelahan dengan kediaman Raja Dukun Leak di Bali. Keesokan harinya
Raja Leak itu berkata
“Saya mencium haruman daripada Raja Pulau Jawa ada di
sekitar sini semalam”
Siapa Habib Munzir?
Habib Munzir dilahirkan pada 23 Februari 1973 di Cipanas
Cianjur, Jawa Barat. Putera kepada Fuad Abdurrahman Al-Musawa dan Rahmah Hasyim Al-Musawa. Ayahnya, Fuad
mantan pelajar Universiti New York, Amerika Syarikat dan wartawan di akhbar
Berita Buana.
Namun Habib Munzir lebih cenderung kepada pengajian ilmu
agama. Selepas tamat sekolah menengah atas, Habib Munzir menekuni ilmu syariah Islam di Ma’had Assaqafah Al
Habib Abdurrahman Assegaf di Bukit Duri Jakarta Selatan. Billau juga mengambil
kursus Bahasa Arab di LPBA Assalafy Jakarta Timur.
Habib Munzir mendalami lagi ilmu syariah islamiah di Ma’had
Al Khairat, Bekasi Timur yang dipimpin
oleh Habib Naqib Muhammad bin Syeikh Abu Bakar bin Salim.
Beliau banyak menimba ilmu di Maahad al-Khairat dan di
sinilah beliau kenal dengan Habib Umar
bin Hafidz pemimpin Ma’had Darul Mustafa di Tarim, Hadhramaut Yemen pada tahun
1994.
Selama empat tahun Habib Munzir mendalami ilmu fikah, ilmu
tafsir al-Quran, ilmu hadis, ilmu sejarah, ilmu tauhid, ilmu tasawuf,
mahabbaturrasul, ilmu dakwah, dan ilmu syariah lainnya.
Selepas tamat pengajian Habib Munzir membuka majlis zikir
pada setiap malam Selasa dan memimpin Ma’had Assa’adah, yang diwakafkan oleh Al
Habib Umar bin Hud Alattas di Cipayung.
Malangnya orang ramai kurang berminat mengikuti
pengajiannya. Sang Habib mengubah strategi dakwahnya daripada menyampaikan
permasalahan fikah yang rumit kepada nasihat secara berhikmah berdasarkan
ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi s.a.w.
Tidak cukup dengan itu, nasihat yang berhikmah dilembutkan
lagi dengan untaian bahasa yang indah hasil luapan kecintaan dan kasih kepada
Nabi Muhammad s.a.w.
Habib Munzir bukan seperti ustaz lain yang selesa
menyampaikan ilmu di masjid dan tempat tertentu sahaja. Beliau sanggup turun ke
tengah umat dan duduk mendengar bagi membantu
menyelesaikan masalah mereka.
Tidak kira siang dan malam Habib Munzir berdakwah dari rumah
ke rumah di Jakarta. Masuk ke merata ceruk dan daerah pedalaman yang pernah
sampai Islam kepada penduduknya.
Sang Habib tidur di mana-mana sahaja. Bahkan pernah tertidur
di teras (porch) rumah orang kerana penghuni rumah sudah tidur dan beliau tidak
mahu membangunkan mereka di tengah malam.
Melalui jubah dan serban putih serta kitab-kitab yang
dikeleknya Habib Munzir sanggup naik turun
bas mencari sesiapa jua untuk menyampaikan dakwah.
Misi Sang Habib ialah menyeru orang ramai bertaubat kepada
Allah dengan mengikuti sunnah baginda Rasulullah s.a.w. dan mencontohi
akhlaknya.
Hasilnya amat memberangsangkan.Semakin ramai hadirin
membanjiri setiap majlis zikir dan nasihat yang diadakan Habib Munzir. Masjid
dan surau yang menjadi lokasi majlis zikir dan nasihat berhikmahnya pun
dipenuhi jemaah dari segenap lapisan masyarakat. Lalu timbullah permintaan agar
majlis sang Habib diberikan nama khusus untuknya.
“Majelis Rasulullah!” jawab Habib spontan sambil tersenyum
menawan.
Hal ini kerana kesemua fokus majlis adalah berkaitan
zikrullah dan nasihat berhikmah daripada sirah dan sunnah Rasulullah s.a.w.
demi menggapai keimanan sejati.
Majlis Rasulullah pun dianjurkan di Masjid Raya Al-Munawar
Pancoran Jakarta Selatan, Masjid Raya At Taqwa Pasar Minggu Jakarta Selatan,
Masjid Raya At Taubah Rawa Jati Jakarta Selatan, dan Maahad Darul Ishlah
Pimpinan KH. Amir Hamzah di Jalan Raya Buncit Kalibata Pulo.
Hadirin yang ramai mengundang cemuhan manusia yang dengkikan
dakwah Habib Munzir apatah lagi golongan Wahabi yang tidak suka maulud nabi
kerana bagi mereka ia suatu bidaah.
Namun Habib Munzir tidak pernah membalas cemuhan mereka
walaupun beliau boleh melakukannya. Bagi mengelakkan sebarang kesulitan maka
Habib Munzir mengadakan Majlis Rasulullah pada setiap malam Selasa di Masjid
Raya Al-Munawar Pancoran di Jakarta Selatan. Itu pun 10,000 hadirin menghadiri
Majlis Rasululah setiap minggu!
Tersebarlah kemasyhuran Habib Munzir dan Majlis Rasulullah
di sepanjang Pantai Utara Pulau Jawa dan Pantai Selatan, Bali, Mataram, Irian
Barat, Singapura, Malaysia, Amerika, Jerman dan lain-lain negara.
 |
Jenazah tokoh disayangi ramai itu disolatkan untuk kali
terakhir
Banyak stesen televisyen menyiarkan tentang Majlis
Rasulullah hingga terbinanya laman sesawang
www.majelisrasulullah.org.
Hingga kini lebih sepuluh ribu masalah agama telah dijawab
oleh Habib Munzir dengan bahasa yang indah dengan penah kasih sayang hingga
menarik kunjungan jutaan umat Islam di seluruh dunia.
Bagi Mastika amat molek para ulama dan ustaz di negara kita
mencontohi dakwah yang dilakukan oleh Habib Munzir. Ajaibnya Habib Munzir tidak
pernah duduk di kerusi empuk dan bilik berhawa dingin menerima gaji setiap
bulan sahaja.
Habib Munzir memuliakan saudaranya dan tidak segan-segan
memaut bahu orang jahil untuk berdakwah. Dakwah Habib Munzir juga tidak terikat
waktu pejabat!
|
Syabas Habib Munzir semoga pemergianmu diganti Allah den
seribu kelahiran insan pendakwah sepertimu!
Bersama taburan bunga mawar bersemadilah Habib Munzir Musawa
yang amat kami kasihi dengan aman.
Semoga kami dapat bersama Habib Munzir di dalam khemah Rasulullah saw dan
mendapat syafaat baginda di padang
mahsyar kelak! Amin
 |
Ribuan pengikut mengiringi jenazah Habib Munzir untuk
disemadikan
|